merujuk kpd artikel dr isma web saya menyatakan sokongan!
Perangi zina demi atasi gejala buang bayi
Apakah yang akan anda lakukan jika atap rumah tiris? Mungkin langkah segera ialah sediakan bekas untuk menadah air hujan yang menitis. Tapi untuk jangka panjang, anda perlu baiki atap rumah itu, kerana di situ letaknya punca kejadian. Kebiasaannya, atap yang ditampal juga tidak tahan lama. Tukar atap baru, barulah selesai masalah.
Kita jumpa ramai orang buang anak seperti kita jumpa banyak lubang tiris. Lalu kita kelam kabut mencari bekas untuk ditadah, seperti “Baby Hatch”, sekolah hamil dan sebagainya. Adakah langkah sebegitu perlu? Jawapannya ya. Tapi adakah ia menyelesaikan masalah? Jawapannya sudah tentu tidak.
Buang anak adalah akibat zina, kerana orang yang hamil secara halal tidak akan membuang anaknya. Manakala zina itu sendiri adalah akibat perbuatan lain, iaitu pergaulan bebas. Seterusnya kita mesti mencari jawapan apakah punca kepada pergaulan bebas dan faktor-faktor penyuburnya? Jangan terkejut jika kita dapati pihak yang kelam kabut cari “bekas tadahan” tadi juga ada “saham” menyubur pergaulan bebas.
Mengenakan tuduhan membunuh ke atas si pembuang bayi merupakan langkah kerajaan untuk membendung gejala buang bayi. Tetapi langkah tegas itu masih berada dalam lingkungan merawat, bukan mencegah, atau dengan perumpamaan tadi ia masih berlegar dalam mencari bekas terbaik untuk menadah air hujan yang tiris.
Bagaimana dengan gejala zina yang menjadi punca kepada gejala buang anak? Mengapa perkara ini tidak sampai ke tahap menjadi agenda khusus kabinet untuk mencari jalan penyelesaian segera seperti mereka membincangkan gejala buang anak?
Sebabnya ialah semua sepakat memandang kotor gejala buang anak, tapi tidak sepakat memandang jijik gejala zina. Buktinya jelas apabila ada pemimpin yang mengaku berzina pun masih diterima sebagai pemimpin hingga ke hari ini. Gerakan yang anti undang-undang Islam pun masih dibiarkan bebas meracuni pemikiran masyarakat.
Tidak sepakat memandang jijik zina adalah hasil serangan pemikiran Barat. Anggapan bahawa perbuatan zina adalah isu peribadi individu terbabit memang cedokan tulen pemikiran Barat. Pemimpin politik tidak berani menentang cara fikir asing ini kerana perkiraan-perkiraan untung rugi politik, selain ia telah berleluasa di kalangan pemimpin, rakan dan ahli keluarga sendiri.
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyedari dan menginsafi sejak awal lagi bahawa penyelesaian hakiki bagi masalah ini ialah dengan mendidik generasi muda. Ungkapan yang popular di sisi aktivis ISMA ialah tarbiyah. Kalau atap bocor, kita tampal, tapi untuk jaminan jangka panjang seeloknya kita tukar dengan atap yang lain.
Itulah rahsia di sebalik pemilihan “Membina Generasi Harapan” sebagai motto ISMA. Ia menggambarkan usaha-usaha gigih mendidik generasi muda, remaja dan belia, melalui pelbagai aktiviti bina insan, agar mereka memiliki keperibadian Islam sejati dan kembali kepada pemikiran Islam tulen.
Di samping itu kita juga meyakini bahawa penguatkuasaan undang-undang Islam berkaitan zina juga adalah termasuk dalam langkah mendidik umat. Ini kerana undang-undang Allah itu bersifat mendidik dan mencegah. Bagaimanapun sekali lagi kita akan berdepan dengan gejala keracunan pemikiran Barat apabila orang Islam sendiri melatah kerana malu kepada orang Barat apabila ditayangkan hukuman rotan seratus kali atau rejam sampai mati sebagai kuno dan tidak bertamadun.
Sesungguhnya racun pemikiran Barat ini hanya boleh dilawan dengan usaha melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran Islam sejati. Barat telah menanam pemikiran mereka melalui pendidikan merentasi era penjajahan, pasca penjajahan dan pasca moden. Serangan melalui pendidikan ini mesti dihadapi dengan serangan pendidikan juga. Benarlah kata as-Syahid Hasan al-Banna,
“إن معركتنا معركة تربوية”
“Sesungguhnya pertempuran kita adalah pertempuran pendidikan”.
“Membina Generasi Harapan”
“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”
0 komen:
Post a Comment